5 syarat nak buat maksiat
Suatu hari ada seorang lelaki yang menemui Ibrahim bin Adham. Dia berkata,
"Wahai Aba Ishak! Selama ini aku gemar bermaksiat. Tolong berikan aku
nasihat." Setelah mendengar perkataan tersebut Ibrahim berkata, "Jika
kamu mahu menerima lima syarat dan mampu melaksanakannya, maka boleh kamu
melakukan maksiat." Lelaki itu dengan tidak sabar-sabar bertanya.
"Apakah syarat-syarat itu, wahai Aba Ishak?"
Ibrahim bin Adham berkata, "Syarat pertama, jika kamu bermaksiat kepada
Allah, jangan memakan rezekinya." Mendengar itu dia mengernyitkan kening
seraya berkata, "Dari mana aku mahu makan? Bukankah semua yang ada di bumi
ini rezeki Allah? "Ya!" tegas Ibrahim bin Adham. "Kalau kamu
sudah memahaminya, masih mampukah memakan rezekinya, sedangkan kamu selalu
berkeinginan melanggar larangan-Nya?"
"Yang kedua," kata Ibrahim, "kalau mahu bermaksiat, jangan
tinggal di bumi-Nya! Syarat ini membuat lelaki itu terkejut setengah mati.
Ibrahim kembali berkata kepadanya, "Wahai Abdullah, fikirkanlah, apakah
kamu layak memakan rezeki-Nya dan tinggal di bumi-Nya, sedangkan kamu melanggar
segala larangan-Nya?"
"Ya! Anda benar." kata lelaki itu. Dia kemudian menanyakan syarat
yang ketiga. Ibrahim menjawab, "Kalau kamu masih mahu bermaksiat, carilah
tempat tersembunyi yang tidak dapat terlihat oleh-Nya!" Lelaki itu kembali
terperanjat dan berkata, "Wahai Ibrahim, ini nasihat macam mana? Mana
mungkin Allah tidak melihat kita?" "Ya, kalau memang yakin demikian,
apakah kamu masih berkeinginan melakukan
maksiat?" kata Ibrahim. Lelaki itu mengangguk dan meminta syarat yang
keempat.
Ibrahim melanjutkan, "Kalau malaikat maut datang hendak mencabut rohmu,
katakanlah kepadanya, 'Ketepikan kematianku dulu. Aku masih mahu bertaubat dan
melakukan amal soleh'." Kemudian lelaki itu menggelengkan kepala dan
segera tersedar, "Wahai Ibrahim, mana mungkin malaikat maut akan memenuhi
permintaanku?"
"Wahai Abdullah, kalau kamu sudah meyakini bahawa kamu tidak boleh menunda
dan mengundurkan datangnya kematianmu, lalu bagaimana engkau boleh lari dari
kemurkaan Allah?"
"Baiklah, apa syarat yang kelima?" Ibrahim pun menjawab, "Wahai
Abdullah kalau malaikat Zabaniyah datang hendak mengiringmu ke api neraka di
hari kiamat nanti, jangan engkau ikut bersamanya."
Perkataan tersebut membuat lelaki itu insaf. Dia berkata, "Wahai Aba
Ishak, sudah pasti malaikat itu tidak membiarkan aku menolak kehendaknya."
Dia tidak tahan lagi mendengar perkataan Ibrahim. Air matanya bercucuran.
"Mulai saat ini akut bertaubat kepada Allah." katanya sambil
terisak-isak.
back